Friday, 17 October 2014

Apa itu Daya?
Daya ialah tolakan atau tarikan yang boleh mengakibatkan perubahan pada objek.
Memahami Daya



Kesan Daya 
Daya ini boleh menyebabkan 
- perubahan bentuk, 
- menggerakkan objek pegun, 
- mengubah kedudukan, 
- menambah kelajuan, 
- memberhentikan objek yang sedang bergerak.


Jenis Daya
1) Daya Graviti
Daya tarikan yang menggerakkan sesuatu jasad ke arah pusat cakerawala (eg: bulan atau Bumi)

2) Daya Geseran
Daya menentang gerakan yang terhasil apabila dua permukaan bersentuhan

3) Daya Elektrostatik
Daya tarikan antara cas berlainan / Daya tolakan antara cas yang sama

4) Daya Magnet
Daya tarikan atau tolakan antara dua magnet yang berlainan atau antara magnet dengan bahan magnet.


Daya dapat mengubah saiz, bentuk dan gerakan sesuatu objek. Daya juga merupakan kuantiti yang mempunyai magnitud (kekuatan) dan juga arah. Unit S.I bagi daya ialah Newton (N). Objek dengan jisim 100 gram mempunyai berat kira-kira 1 N. Jadi 1 kg jisim adalah bersamaan dengan 10 N. Daya boleh diukur dengan menggunakan Neraca Spring.
Neraca Spring Pengukuran Daya

Kenapa Spring yang dipilih? 
Kerana spring akan memanjang jika dikenakan daya tarikan dan akan mampat dan pendek jika dikenakan daya tolakan. Pemanjangan dan pemampatan spring adalah berkadar terus dengan kekuatan daya.


Daya Geseran
Daya geseran adalah daya yang menentang arah gerakan objek apabila dua permukaanbersentuhan.
Mengaplikasi Daya Geseran

Kebaikan Geseran
1. Membolehkan kita menulis
2. Menunggang basikal
3. Memadamkan tulisan
4. Memotong buah
5. Menyalakan mancis
6. Mengasah pisau

Keburukan Geseran
1. Melambatkan pergerakan
2. Mengurangkan kecekapan mesin
3. Menghauskan permukaan alatan
4. Menghasilkan haba dan bunyi
Mengaplikasi Daya GeseranMengaplikasi Daya Geseran

Cara Meningkatkan Geseran
1. Menggunakan permukaan yang kasar
2. Meningkatkan berat objek


Cara Mengurangkan Geseran
1. Menggunakan troli
2. Menggunakan roda
3. Menggunakan minyak pelincir
4. Menggunakan rod berputar
5. Menggunakan bentuk aerodinamik

Kerja dibuat sekiranya daya yang digunakan dapat menggerakkan sesuatu objek pada arah daya tindakan. Kerja berlaku apabila beban dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Lihat contoh gambar dibawah bagi penjelasan lebih lanjut.
Kerja dilakukan
Kerja Dilakukan 

1) Mengangkat barang
2) Berlari
3) Menaiki tangga
4) Menolak troli
Kerja Tidak Dilakukan
Kerja TIDAK Dilakukan
1) Duduk
2) Mendukung bayi
3) Menolak dinding
4) Menulis


Pengiraan Kerja
Kerja juga merupakan hasil darab daya dengan jarak objek. Unit SI yang digunakan adalah Newton meter (N m) atau Joule (J)
Kuasa ialah kadar kerja yang dilakukan. Kuasa menunjukkan tahap kecepatan sesuatu kerja dilakukan. Dalam bahasa yang lebih mudah, kuasa adalah kadar secepat mana sesuatu kerja dapat dilakukan oleh anda. Sebagai contoh, bagi 2 pelajar yang mempunyai berat badan yang sama, dan berlari pada jarak yang sama, pelajar yang sampai lebih dahulu ke garisan penamat, adalah pelajar yang menggunakan kuasa yang lebih besar berbanding yang seorang lagi.
Formula kuasa


Dalam unit SI, kuasa disukat dengan menggunakan unit joule sesaat (J/s) atau Js-1 atau juga unit Watt (W).

Formula bagi kuasa adalah gambar seperti di atas.
Menganalisa Kepentingan Daya Dalam Kehidupan

1. Buah kelapa tidak akan jatuh tanpa daya graviti
2. Kereta dapat bergerak tanpa tergelincir dengan adanya daya geseran
3. Pintu tidak dapat dibuka tanpa daya tarikan
4. Air tidak dapat dialirkan tanpa daya untuk memusingkan pili
5. Kilat tidak dapat terhasil tanpa daya elektrostatik
6. Kompas tidak dapat berfungsi tanpa daya magnet

Wednesday, 1 October 2014

Contoh Karangan Rencana


Soalan 3.
Memandangkan jumlah rakyat Malaysia yang merokok terus meningkat dari semasa ke semasa, anda telah diminta untuk menulis sebuah rencana yang bertajuk “Kesan-kesan tabiat merokok dan langkah-langkah untuk menanganinya”.
Tulis rencana itu selengkapnya.
KARANGAN RENCANA
“Kesan-kesan Tabiat Merokok dan Langkah-langkah Untuk Menanganinya”
Oleh : Lim Teng Peng
Kempen ‘Tak Nak’ Merokok acap kali menjadi polemik di media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik. Namun, apa yang menyedihkan, semakin banyak kempen diadakan semakin ramai pula para remaja terlibat dalam gejala merokok. Umum tahu bahawa di sebelah kotak rokok sudah dijelaskan secara terang-terangan bahawa bahaya merokok tetapi perkara tersebut dipandang sebelah mata sahaja oleh para perokok. Malah, gambar penyakit akibat merokok yang tertera di kotak rokok juga tidak diendahkan sama sekali. Sememangnya, gejala merokok tiada satupun kebaikan malah 100% mempunyai kesan negatif yang memudaratkan penagihnya. Jadi, semua pihak perlu mengambil pelbagai langkah yang proaktif bagi menangani masalah ini daripada menjadi duri dalam daging sepanjang masa.
‘Merokok membahayakan kesihatan’ itulah slogan yang sering kita dengar akan bahana daripada perbuatan menghisap rokok. Perkara ini terjadi kerana bahan yang digunakan untuk membuat rokok terdiri daripada pelbagai bahan kimia seperti racun tikus, tar, nikotin, tembakau, dan sebagainya. Apabila manusia merokok, segala bahan kimia yang terdapat di dalam rokok akan bertindak balas dengan tubuh badan manusia yang terdiri daripada organ-organ yang amat penting. Sebagai contoh, anggota mula-mula yang bertindak balas dengan rokok ialah mulut. Kesan bahan kimia kepada mulut sahaja boleh mengakibatkan pelbagai penyakit seperti gigi menjadi kuning, bibir menjadi biru dan kanser mulut. Penyakit lain seperti asma, sakit jantung, barah otak, angin ahmar dan migrain antara penyakit yang dibuktikan akibat gejala merokok. Jadi, merokok secara jelasnya menyebabkan kesihatan manusia terjejas.
Selain itu, gejala merokok juga menyebabkan pembaziran wang yang keterlaluan berlaku dalam kalangan perokok. Hal ini kerana, setiap tahun pihak kerajaan akan sentiasa menaikkan harga rokok melalui belanjawan yang dibentangkan di parlimen. Walau bagaimana, para perokok tidak mempedulikan harga rokok meningkat mahal kerana mereka telah ketagih. Tidak dapat tidak, mereka akan mengusahakannya bagi mendapatkan rokok. Misalnya, bagi golongan perokok yang sudah berkeluarga sudah pastinya mereka tetap merokok walaupun menjejaskan perbelanjaan isi rumah. Begitu juga pelajar sekolah, mereka sanggup mengikat perut semata-mata ingin menyedut asap yang berpenyakit itu. Dalam agama Islam sudah diterangkan bahawa membazir adalah amalan syaitan tetapi masyarakat tidak mengendahkannya seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Pendek kata, menghisap rokok merupakan perkara yang nyata membazir dan merugikan wang.
Sedar atau tidak, kesan perbuatan merokok juga bukan sahaja kepada individu yang merokok malah tempiasnya turut terkena kepada individu yang tidak merokok di sekeliling mereka. Hal ini kerana asap rokok yang dilepaskan di udara akan dihidu oleh orang yang berada di sekeliling perokok. Asap yang dihidu juga membawa bahan kimia memberi kesan kepada kesihatan orang lain. Buktinya dalam sesebuah keluarga, jika seorang bapa merokok maka si ibu dan anak-anak berkemungkinan besar mendapat penyakit seperti batuk dan asma kerana berada dalam lingkungan si bapa yang merokok. Kajian juga memperlihat bahawa perokok pasif iaitu orang yang tidak merokok berisiko mendapat penyakit daripada asap rokok lebih tinggi daripada perokok. Teguran kepada para perokok supaya berhenti merokok seperti ‘mencurahkan air ke daun keladi’ walhal perbuatan mereka nyata menyusahkan orang ramai.
“Setiap penyakit pasti ada ubatnya”. Oleh itu, untuk mencegah tabiat merokok daripada menular pasti ada caranya. Antaranya ialah pihak kerajaan seharusnya mengubal dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan rokok. Hal ini penting bagi mengekang para remaja dan orang dewasa merokok. Pihak kerajaan patut menggubal undang-undang baru dan menubuhkan badan khas bagi menjalankan tugas menguatkuasa untuk mengurangkan masalah ini. Sebagai contoh, pihak kerajaan wajar mengenakan hukuman penjara kepada mana-mana pemilik kedai yang menjual rokok kepada remaja yang berumur 18 ke bawah bukan setakat denda wang ringgit sahaja melalui kerjasama semua pihak. Selain itu, undang-undang lebih tegas juga dikenakan kepada golongan dewasa yang merokok di tempat awam seperti bayaran kompaun yang lebih tinggi dan perlu dibayar serta merta melalui badan penguatkuasa yang ditubuhkan. Dengan penguatkuasaan yang lebih tegas mampu meredakan keegoan perokok sekaligus menakutkan perokok-perokok dan secara tidak langsung mereka berfikir bahana merokok.
Langkah lain yang lebih efisien dalam menangani masalah tabiat merokok ialah dengan mengadakan kempen secara berterusan terutamanya pada peringkat institusi pendidikan. Hal ini kerana melalui kempen di sekolah dan instituti pengajian tinggi dilihat mampu memberi maklumat secara berterusan kepada pelajar dan masyarakat. Di sekolah misalnya, penerapan kempen bahana merokok bukan sahaja dapat diadakan kempen secara formal tetapi juga melalui kempen tersembunyi yang wajib diselitkan dalam kurikulum bilik darjah oleh guru. Perkara ini amat penting kerana dilihat mampu mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan pelajar dan masyarakat melalui pengajaran yang bermotivasi. Sebagai contoh, kempen tersembunyi dalam bilik darjah dapat diterapkan dalam mata pelajaran Sains. Dalam mata pelajaran Sains, pelbagai kesan merokok dapat diketahui oleh pelajar berserta dengan bukti yang kukuh dan maklumat yang diperolehi melalui pengajaran guru. Jadi, secara khususnya, dapatlah dikatakan bahawa kempen secara berterusan merupakan cara berkesan yang patut diteruskan dalam mengurangkan jumlah perokok sedikit demi sedikit di negara kita.
Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa tabiat merokokmerupakan penyakit yang agak sukar untuk diselesaikan secara mendadak oleh semua pihak di negara kita. Walau bagaimanapun, perkara ini bukan mustahil untuk diselesaikan seperti yang kita tahu ada satu perpatah mengatakan sehari selembar benang lama-lama menjadi kain iaitu setiap langkah penyelesaian pasti ada kesudahannya. Oleh itu, usaha menangani tabiat merokok sudah pastinya memerlukan komitmen daripada semua pihak bermula daripada institusi keluarga lagi melalui didikan ibu bapa terhadap anak-anak dan seterusnya pada peringkat yang lebih tinggi. Apa yang pasti, melalui kerjasama dan kesedaran semua pihak maka masalah ini dapat dilenyapkan secara evolusi sekaligus menjadikan masyarakat kita bebas daripada tabiat merokok. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Tegasnya, bersatulah kita dalam menangani masalah rokok bersama-sama.

KARANGAN JENIS FAKTA / RENCANA

KARANGAN JENIS FAKTA / RENCANA
Sekiranya anda memilih untuk membuat karangan jenis ini, pastikan ianya:

  • Ditulis dalam bentuk format biasa
  • karangan ini memerlukan kita mempunyai pengetahuan yang luas.
  • jadi perlu banyak membaca buku, majalah, surat khabar dan sebagainya
  • fahamkan kehendak soalan. Contohnya karangan yang bertajuk burung.Tuliskan apa yang kamu tahu tentang burung. Karangan ini mungkin disalah tasirkan sebagai burung yang murid sukai atau burung peliharaan murid.
  • pastikan anda benar-benar tahu dan mempunyai fakta yang betul tentang tajuk.
  • senaraikan fakta-fakta / isi yang diketahui dan susun mengikut kepentingannya.
  • setelah mengemukakan pengenalan, tulis bahagian isi
  • pastikan anda dapat menyediakan 4 isi
  • kamu harus mampu mengembangkan sesuatu isi
  • setiap isi haruslah dihuraikan berserta contoh yang sesuai dengan menggunakan ayat dan kata yang mudah difahami. Jika boleh sertakan kesannya.
  • masukkan perangkaan atau peristiwa untuk menguatkan kenyataan.
  • setelah siap mengembangkan isi kemukakan bahagian penutup.
  • gunakan bahasa yang tepat, usah leret-leret.



Rangka karangan

Pendahuluan - 
Perenggan ke-2 - 
Perenggan ke-3 - 
Perenggan ke-4 - 
Penutup - 


CONTOH KARANGAN FAKTA/RENCANA: 

Soalan :  Keburukan internet?
 
            Internet merupakan gedung ilmu yang tiada sempadan dan tiada tepinya.Tidak dinafikan lagi penggunaanya memberi banyak faedah kepada pengguna.Namun begitu,internet juga dapat memerangkap minda remaja marcapada ini terpengaruh dengan dunia maya.Unsur-unsur negetif seperti,bahan lucah dan aksi ganas dipaparkan melalui skrin komputer memberi impak negetif yang besar pada anak watan negara ini dan mampu membawa padah.

            Kesan dari penyalahgunaan kemudahan internet pada aset negara ini akan membuat mereka lalai.Minda remaja sudah ketagih dengan unsur-unsur negetif alam maya akan menyebabkan tercetusnya gejala ponteng sekolah.Hal ini berlaku akibat daripada nafsu pelajar yang ingin berseronok di kafe siber dengan menyaksikan aksi lucah,ganasa dan bermain permainan “online”.

           Selain itu,anak watan negara ini akan obses dengan budaya yang ditonjolkan di internet.Natijahnya,orang lain yang tidak bersalah menjadi mangsa mereka.Tidak hairanlah kita menyaksikan kes melawan guru,berzina,bertumbuk,bergaduh sehingga membunuh di kalangan remaja dipaparkan melalui media massa.Siapakah penghulunya? Adakah internet patut dipersalahkan?

         Seterusnya,akibat daripada penyalah gunaan internet,ini akan membantutkan misi negara untuk mencapai wawasan 2020 sekaligus menyekat pembangunan negara untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama yang unggul.Kesannya negara kita akan kehilangan tonggak peneraju negara.Dengan mudah musuh luar dapat menakluk negara kita jika tiada pemimpin yang berkaliber dan bijaksana.Dalam pada itu,ekonomi negara turut terjejas bak kata pepatah melayu ” cubit paha kanan,paha kiri terasa juga”.Natijahnya,kemerosotan ekonomi memandu negara ke arah kemiskinan.

           Nama negara yang gah di mata dunia tercalar akibat daripada rakyatnya yang terperangkap oleh alam maya dan kerajaan gagal untuk melahirkan modal insancemerlang seperti yang digariskan dalam wawasan 2020.Negara kita akan dipandang rendah oleh negara membangun lain jika hal sedemikian terus berleluasa.Di manakah semangat remaja untuk membantu negara?Menurut statistik,pelajar cemerlang yang dilahirkan semakin merosot dari tahun ke tahun.Adakah ini tanda-tanda awal yang membawa negara ke arah hari kekalahan?
           Bangunlah wahai ummah.Pihak berkuasa,pihak sewasta atau semua pihak harus berganding bahu dalam mencegah hal sedemikian dan jangan bersikpa meterialistik dan individualistik.Anak watan peneraju negara harus dibentuk dengan acuan yang betul agar tidak dipenjara oleh diri sendiri akibat daripada sikap diri.

Contoh Karangan Ucapan

Anda diminta untuk menyediakan sebuah ucapan sempena Hari Guru. Sediakan sebuah teks ucapan yang lengkap.

Berikut contoh karangan ucapan sempena Hari Guru.
Salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Guru Besar,Guru Penolong Kanan, guru-guru dan rakan sekalian.Saya sebagai wakil murid, ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru kepada semua guru di sekolah ini.

Hadirin sekalian,

Tarikh 16 Mei setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Guru. Hari ini merupakan hari yang amat sesuai untuk kita mengadakan sambutan bagi mengenang dan menghargai jasa guru.Oleh itu marilah kita menghargai jasa guru.

Rakan-rakan sekalian,

Guru ialah insan yang mendidik,mengasuh dan membimbing kita hingga kita dapat mencapai kejayaan.Kesungguhan mereka mendidik kita amatlah besar nilainya dan wajar dikenang sepanjang hayat.Mereka tidak pernah jemu mengajar kita supaya kita dapat mengenal huruf ,membaca dan mengira.
Guru juga merupakan ibu bapa kepada kita di sekolah. Oleh itu, kita mestilah menghormati guru.Segala nasihat guru mestilah kita dengar dan patuhi. Jangan sesekali kita abaikan segala nasihat mereka.

Rakan sekalian,

Guru adalah orang yang sering memberi semangat kepada kita untuk rajin belajar.Mereka sedia mendengar segala masalah yang kita tidak fahami dalam pelajaran.Oleh itu guru adalah pendidik yang sangat berdedikasi semasa mengajar kita di sekolah.
Sesungguhnya, jasa guru tidak ternilai harganya.Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.Wahai para guru yang kami sayangi,jutaan terima kasih kami ucapkan kerana tidak pernah jemu mendidik kami dengan sabar .

Sekian , terima kasih.